t>

Breaking News

Saya Hanya Mampu Berdoa - Rosmah Mansur.

Hanya doa yang mampu dipanjatkan di kala Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan ujian hebat dengan pelbagai kritikan dan tuduhan, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri kepada perdana menteri itu turut menasihatkan agar tuduhan dan fitnah tidak sewenang-wenangnya dilemparkan sebagaimana diingatkan Allah dalam Al-Quran.

"Hari baik, bulan baik jangan kita fitnah satu sama lain. Itu adalah ajaran Al-Quran.

"Kita serah pada Allah. Kita hanya mampu berdoa," katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Najib hari ini memulakan proses tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya dalam skandal melibatkan berbilion ringgit ekoran pendedahan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) minggu lepas.

Peguam perdana menteri bagaimanapun berkata, sebelum memutuskan tindakan mereka seterusnya ke atas akhbar antarabangsa itu, mereka perlu mengumpul semua fakta berkenaan laporan itu.

Ia termasuk mengenalpasti pihak yang disebut di dalam laporan itu, bidang kuasa perundangan dan penglibatan dalang konspirasi, kata peguam Wan Azmir Wan Majid bagi pihak firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, seperti dipetik The Star.

"Ini bukan kes undang-undang yang jelas dan mudah kerana ia membabitkan dakwaan pihak tempatan dan antarabangsa. Kami diarah mengenal pasti fakta dan membentangkan kesemuanya, sebelum anak guam kami memberikan arahan seterusnya," kata Wan Azmir.

"Matlamat mendapatkan penjelasan terperinci adalah bagi mengelak sebarang bantahan daripada WSJ berkenaan tuduhan yang dibuat.

"Selepas anak guam kami mendapatkan kesemua fakta yang diperlukan dan kedudukan WSJ dipastikan, kami mendapat arahan jelas mengambil sebarang jalan dan penyelesaian undang-undang serta-merta."

Pasukan petugas khas dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bertanggungjawab menyiasat kes 1MDB tersebut.

Pasukan itu semalam mengumumkan pembekuan 6 akaun bank serta merampas dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 bank bagi membantu siasatan.

WSJ minggu lepas mendedahkan dokumen siasatan yang menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Serbuan turut dibuat ke atas 3 syarikat berkaitan 1MDB yang didakwa digunakan untuk menyalurkan dana, iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd serta dokumen turut diambil. – TMI.