t>

Breaking News

Scorpene - Razak Baginda Akui Terima Bayaran 137 Juta.

 
Abdul Razak Baginda, penganalisis politik yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, berkata beliau menerima €30 juta (RM137 juta) sebagai yuran konsultasi dalam pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis, lapor Financial Times (FT).

"Ia perjanjian yang sah. Saya buat kerja saya dan saya dibayar untuk itu. Dan saya tidak pernah bayar mana-mana pegawai," bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak itu dipetik berkata oleh FT, sambil menambah pelaksanaan perjanjian itu berjalan selama 8 tahun.

Najib merupakan menteri pertahanan semasa perjanjian bernilai AS$1.2 bilion itu dimeterai, perjanjian yang penuh dengan dakwaan rasuah dan sogokan.

Pengesahan Razak dibuat ketika pendakwa Perancis memulakan secara rasmi siasatan ke atas Najib, seminggu selepas ia membuka kes terhadap Bernard Baiocco, bekas presiden Thales International Asia, yang bersama-sama dengan firma pertahanan Perancis DCNS, menjual kapal selam itu kepada Malaysia.

Siasatan Perancis itu berkisarkan dakwaan Baiocco membayar sogokan kepada Najib melalui Razak.

Peguam Baiocco, Jean-Yves Le Borgne mengesahkan kepada FT, Razak mendapat bayaran untuk kerja-kerja melobi dalam perjanjian senjata AS$1.2 bilion itu, tetapi menafikan ia adalah rasuah, sambil menambah, pendakwa tiada bukti menunjukkan Najib menerima bayaran itu.

Siasatan Perancis itu susulan permintaan Peguam Negara Switzerland mendapatkan bantuan Malaysia, selepas siasatannya berhubung transaksi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan, terdapat penyalahgunaan wang sejumlah kira-kira RM4 bilion melibatkan syarikat-syarikat kerajaan Malaysia.

Siasatan terkini Perancis itu dicetuskan semula empat tahun selepas kumpulan hak asasi Suaram memfailkan aduan dengan mahkamah sivil Paris berhubung skandal jutaan ringgit Scorpene itu.

Suaram memfailkan saman terhadap DCNS kerana didakwa membayar €114.9 juta dalam bentuk komisen haram kepada Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sebahagiannya dimiliki Razak.

Razak sebelum ini menafikan tuduhan yang mengaitkan perjanjian senjata itu dengan pembunuhan kejam Altantuya, wanita yang diakuinya mempunyai hubungan sulit dengannya. – TMI