t>

Breaking News

Usahawan Majukan Aiskrim Berdasarkan Makanan Sunnah, Campur Air Zam-Zam.


Walau hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), usahawan ini berjaya mendirikan perniagaan aiskrim sendiri, berasaskan makanan sunnah.
Makanan yang mengikut sunnah itu, yang dimasukkan di dalam aiskrim Mohd Hisham Zamri, termasuklah kurma, buah tin, air zam-zam, dan kismis yang memberi kelainan citarasa.
Bekas juruteknik ini belajar membuat aiskrim di Kemboja dan Thailand dan seterusnya mengasah bakat dengan seorang chef terkemuka di negara ini, lapor Sinar Harian.
“Pada waktu itu, saya lihat semakin ramai peniaga dari Kemboja yang datang ke negara kita memulakan perniagaan sebagai penjual aiskrim, sama ada buatan sendiri atau sebaliknya dengan pendapatan seharian yang agak lumayan.
“Disebabkan itu saya membina keyakinan dan kepercayaan diri untuk melakukan hal yang sama seperti para peniaga Kemboja tersebut dengan melakukan sedikit inovasi dan penambahbaikan,” katanya seperti dilaporkan.
Pada mulanya aiskrim buatannya dengan pelbagai perisa seperti coklat, strawberi, vanila dan yogurt diniaga kecil-kecilan.
Mohd Hisham, dipanggil juga Sifu Sham, kini menghasilkan jenama Aiskrim Minda Genius30+ di seluruh negara yang mengandungi makanan yang digalakkan Islam.
Setiap aiskrim yang dihasilkan mengandungi makanan sunnah seperti badam, kurma, buah tin, air zam-zam, kismis dan zafaron, sekali gus memberi kelainan dari segi rasanya.
Selain berusaha menghasilkan resipi aiskrim yang lebih mantap, lapor portal itu lagi, beliau mengajar peniaga berminat melalui programnya Keusahawanan Mentor Mentee.
Kini beliau sudah mengajar beberapa ratus orang yang berminat dalam perniagaan aiskrim walau hanya bermodalkan RM600 ketika memulakan perniagaan empat tahun lalu.
Syarikatnya Kifayah Global Resources di Jalan Gambang, Kuantan.
“Saya juga beri kursus dan latihan selama sehari mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi serta mesin pembuatan aiskrim.
“Kursus siri lanjutan pula saya dedahkan bagaimana usahawan itu mengembangkan perniagaan aiskrim mereka,” Mohd Hisham dipetik sebagai berkata.
Selain latihan, syarikat beliau juga menyediakan mesin aiskrim, peti sejuk beku, loceng aiskrim, baju T, topi, apron dan bahan mentah.
Tambahnya, peserta kursus yang dikendalikannya akan dipantau bagi memastikan mereka berjaya lapor MalayMail.