t>

Breaking News

Better Beer Festival 2017 Dibatalkan Kerana Menjadi Ancaman Militan - PDRM.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang penganjuran pesta arak ‘The Better Beer Festival 2017’ yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas, di sini pada 6 dan 7 Oktober ini kerana dikhuatiri menjadi sasaran serangan kumpulan militan. 


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan, pihaknya mendapat maklumat bahawa kumpulan militan sedang merancang melakukan sabotaj terhadap penganjuran festival tersebut kerana dianggap sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan mereka. 

“Selain itu, maklumat juga mendedahkan terdapat beberapa pihak yang merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival itu berlangsung. 

“Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang insiden di luar kawalan berlaku, PDRM melarang penganjuran festival tersebut demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan penganjuran festival berkenaan dan menegaskan tindakan lanjut mengikut peruntukkan undang-undang yang sedia ada akan diambil sekiranya pihak penganjur meneruskan aktiviti tersebut tanpa kebenaran. 

Keputusan tersebut mendapat reaksi kurang senang lima pemimpin DAP yang mengeluarkan kenyataan di media sosial meminta supaya DBKL mengkaji semula penolakan permohonan itu kerana seakan-akan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Menurut kenyataan pemimpin pembangkang itu, pembatalan acara tersebut akan menjejaskan industri pelancongan Malaysia kerana ramai pelancong asing akan takut datang ke negara ini yang dianggap sama dengan rejim yang tidak membenarkan kebebasan. 

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Datuk Dr Tan Kee Kong (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Segambut). 

Sumber : Utusan Malaysia